Skip to content
31 October 2011 / ismakuantan

Toleransi dengan agama lain ada batasnya – Ustaz Abdullah Zaik


SHAH ALAM – Toleransi dan pergaulan orang Islam dengan agama-agama lain ada batasnya dengan syarat mereka tidak menggugat akidah, menafikan hak dan mengganggu negara kita.

Perkara ini ditegaskan oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, dalam pidato yang disampaikannya di Himpunan Sejuta Umat  (HIMPUN) yang berlangsung di Stadium Shah Alam di sini baru-baru ini.

Beliau memetik firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.”

Menurut Ustaz Abdullah, perkumpulan umat Islam pada hari itu bertujuan untuk memberi amaran kepada pihak-pihak yang melakukan usaha untuk mencairkan identiti umat dan mengeluarkan orang Islam dari agama mereka.

Usaha pemurtadan ini katanya, adalah rancangan penjajahan untuk memusnahkan keperibadian dan jatidiri yang mesti ditentang oleh umat. Beliau menggesa para hadirin supaya berikrar untuk kembali semula kepada keperibadian dan jatidiri, kembali kepada agama Islam dan mengenang semula perjuangan nenek moyang mereka dahulu.

Ustaz Abdullah juga mengajak peserta HIMPUN yang majoritinya orang Melayu supaya mengingati sejarah lebih 600 tahun dahulu di mana nenek moyang mereka telah membuat satu keputusan hebat iaitu untuk menjadikan Islam sebagai agama bangsa Melayu. Sejak itu Islam menjadi sebati dengan darah daging bangsa, bahkan umat Islam telah berjuang menentang tentera salib yang datang dari Barat ke rantau ini.

Tambah beliau, satu hakikat yang mungkin tak diketahui ialah apabila Alfonso de Albuquerque, panglima Portugis hendak menyerang Melaka, dia mengatakan kepada maharajanya bahawa Melaka adalah negara pusat penyebaran agama Islam di rantau ini dan menjadi sumber kekayaan dunia Islam ketika itu.

Alfonso turut berkata, jika Melaka jatuh, akan jatuh Kaherah dan Mekah selepas itu. Perkara ini menunjukkan hubungan rapat antara Melaka dengan kerajaan-kerajaan Islam di seluruh dunia ketika itu, sekaligus menunjukkan kita adalah umat yang telah menjulang Islam sejak dahulu dan Islam agama yang berdaulat di bumi ini.

Dipetik daripada web ISMA

http://www.ismaweb.net/v4/2011/10/toleransi-dengan-agama-lain-ada-batasnya-ustaz-abdullah-zaik/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: