Skip to content
2 November 2011 / ismakuantan

Kenyataan media Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkenaan program Seksualiti Merdeka 2011


الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وبعد،

Merujuk kepada penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang berlangsung dari 1-13 November 2011 bertempat di Annexe Gallery Kuala Lumpur, Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) melahirkan kegusaran dan kebimbangan akan menularnya fahaman liberal dan songsang dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang bertopengkan “hak asasi manusia”. MUIS berpendirian, hak asasi manusia adalah sesuatu yang diiktiraf oleh Islam. Namun begitu,penerimaan hak asasi ini mestilah diterima didalam ruanglingkup yang tidak menyanggahi prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai moral, budaya, etika, dan adab sopan. Sebarang aktiviti songsang sebegini bukan sahaja menyentuh sensiviti umat Islam malah boleh dianggap satu usaha ke arah mencabar kedaulatan negara yang berpaksikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Sehubungan itu, MUIS menegaskan;

i. Islam adalah agama fitrah yang memberi keadilan dan meratakan kebebasan kepada semua pihak tanpa mengira gender, namun begitu, kebebasan dan keadilan tersebut mestilah bersendikan neraca dan prinsip agama. Perhitungannya bukan berasaskan logik akal semata-mata tetapi haruslah dipandukan oleh wahyu. Oleh kerana itu, sesuatu kebebasan itu bukanlah bersifat mutlak, tetapi mestilah berteraskan keadilan sejagat yang bermatlamatkan memberi maslahah kepada kemanusiaan dan menolak sebarang kerosakan kepada kehidupan mereka (jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid).

ii. Penafsiran kesaksamaan gender haruslah dirujuk berasaskan nilai agama dan budaya ketimuran yang amat menekankan adab sopan dan tata susila. Budaya Gay, Lesbian dan perhubungan bebas antara jantina merupakan budaya hidup songsang ciptaan Barat yang cuba menyelinap masuk ke dalam masyarakat Malaysia. Budaya ini amat bertentangan dengan kehidupan beragama dan menyalahi norma-norma kehidupan masyarakat Malaysia secara umumnya dan masyarakat Muslim,secara khususnya.

iii. Penghuraian hadith dan tafsiran ayat-ayat al-Quran hendaklah dirujuk kepada kitab-kitab muktabar dan orang yang mempunyai kelayakan dalam bidang berkenaan. Sebarang nukilan secara terpisah merupakan dakyah dan senjata yang sengaja digunakan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan menyongsangkan kefahaman umat Islam

Justeru, MUIS menyarankan pihak kerajaan selaku agen penguatkuasa hendaklah menghalang aktiviti seperti ini dan sentiasa peka terhadap aktiviti-aktviti songsang yang menyelinap masuk ke dalam masyarakat umat Islam dan bertujuan melenyapkan identiti dan jati diri anak bangsa dan negara. Seluruh umat Islam perlu berganding bahu memikul tugas membangunkan umat dan menyuburkan akhlak terpuji selaras dengan mesej perutusan baginda SAW “ Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang unggul”. Seluruh umat Islam wajib berganding bahu memikul tanggungjawab membangunkan umat, menyuburkan akhlak terpuji dan memandu masyarakat ke arah menghayati ajaran Islam yang sebenar. MUIS berpandangan penglibatan umat Islam di dalam festival ini adalah haram hukumnya dan sewajibnya dielakkan.

نسأل الله أن يوفق المسلمين لاختيار الطريق القويم ، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang benar,

Dr Aznan Hasan,

Pengerusi,

Majlis Ulama ISMA

http://muis.ismaweb.net/2011/11/kenyataan-media-majlis-ulama-isma-muis-berkenaan-program-seksualiti-merdeka-2011-2/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: