Skip to content
25 March 2012 / ismakuantan

Ceramah Kefahaman Islam Siri-2

Advertisements
14 March 2012 / ismakuantan

Isu Lynas : Fakta atau Mainan

1 March 2012 / ismakuantan

Simposium Fiqh Perubatan anjuran I-Medik

Dengan segala hormatnya, dijemput untuk menghadiri Simposium Fiqh Perubatan 2012 anjuran Ikatan Perubatan Ikatan Muslimin Malaysia atau dikenali dengan I-Medik. Semua dijemput hadir.

15 December 2011 / ismakuantan

Bukit Kuantan Meriah dengan program I-Medik

BUKIT KUANTAN, 11 Dec -Program amal masyarakat anjuran I Medik dengan kerjasama JKKK FELDA Bukit Kuantan dan PEMBINA telah diadakan buat kali kedua.

Pelbagai acara telah dijalankan iaitu Sunathon (acara berkhatan), pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesedaran kesihatan dan juga futsal untuk golongan belia.

Program yang telah diadakan secara dua tahun berturut-turut bertujuan untuk merapatkan persaudaraan antara I Medik dengan penduduk setempat disamping menunjukkan keperihatinan I Medik terhadap tahap kesihatan masyarakat di felda.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ust Rushdan Abdul Halim iaitu Yang Di Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan. Dalam ucapannya, beliau menekankan tentang pentingnya masyarakat Melayu menghargai nikmat Islam dan supaya menunjukkan identiti dan jatidiri Melayu Muslim yang sebenar. Seterusnya diikuti oleh ucapan dan perasmian oleh Pengurus FELDA Bukit Kuantan En Nordin bin Harun yang mengucapkan terima kasih dan rasa bertuah mereka terpilih untuk program ini.

Selanjutnya, anak-anak seramai 19 orang untuk sunathon telah diarak keluar, disirami dengan air dari Bomba dan diberikan makanan sebelum dikhatankan. Upacara berkhatan telah disempurnakan oleh Dr Mohd Nasiruddin Johari, Pengerusi I-Medik Pahang dan Dr Mat Salleh Sarip, Timbalan Setiusaha I-Medik Pusat serta dibantu student chapter I-Medik Pahang.

Pemeriksaan kesihatan dan gigi dijalankan serentak dengan ceramah kesihatan dibantu oleh Houseman  HTAA dan student chapter I-Medik Pahang. Antara pemeriksaan yang dijalankan ialah RBS, body mass index (BMI) dan pemeriksaan tekanan darah dan pulse. Ceramah kesihatan pula yang berkisar tentang “Diabetes, Hypertension dan Coronary Heart Disease” telah disampaikan oleh Dr Norzila Baharin, Setiausaha I-Medik Pahang. Masyarakat setempat memberi sambutan yang menggalakkan di mana lebih kurang 60-70 orang hadir untuk pemeriksaan tersebut.

Sementara itu, futsal belia dan remaja dijalankan di tempat lain dan telah mendapat sambutan hangat dan akhirnya dimenangi oleh Belia FELDA Bukit Kuantan.

Akhirnya, Pengurus dan JKKK FELDA mengucapkan terima kasih dan berbangga serta rasa bertuah dengan program yang dijalankan I-Medik, ISMA dan PEMBINA dan berharap agar usaha sebegini diteruskan dan dikembangkan pada masa yang akan datang.

23 November 2011 / ismakuantan

Kesepakatan Melayu langkaui sempadan politik

Saya tertarik untuk mengulas tulisan Iskandar Kamarul Amin yang disiarkan di http://www.malaysiakini.com/news/181922 pada 21 November 2011. Tulisan yang diajukan berkisar di sekitar persoalan kesatuan Melayu dan hubungkaitnya dengan kedaulatan Islam. Ada beberapa pandangan balas yang ingin saya berikan di dalam tulisan saya ini. Walaupun ia adalah pandangan seorang mahasiswa, tetapi saya yakin ia mewakili sekelompok belia yang berada di usia itu. Maka tulisan ini adalah pandangan yang saya tujukan kepada semua yang mempunyai tanggapan yang sama dengan pandangan saudara Iskandar berkenaan isu kesatuan Melayu.

1. Apabila disebut Melayu perlu bersatu, tidak semua rakyat Malaysia akan terfikir kepada penyatuan UMNO-PAS sahaja sebenarnya. Saudara Iskandar sepatutnya menyedari bahawa sesetengah pihak yang memperjuangkan persepakatan Melayu tidak menyempitkannya kepada penyatuan UMNO-PAS tetapi sebaliknya ia adalah agenda untuk ummah Melayu semua sekali.  Penyatuan UMNO-PAS mempunyai kepentingan strategiknya yang tersendiri. Kedudukan kedua-duanya sebagai parti politik Melayu Islam yang besar sudah semestinya memberikan suatu kesan strategik kepada kedaulatan Islam. Tetapi kesatuan itu tidak akan pergi jauh tanpa penglibatan bangsa Melayu seramai mungkin. UMNO dan PAS tidak mewakili keseluruhan bangsa Melayu. Masih ramai orang Melayu di luar sana yang sebenarnya tidak cenderung kepada UMNO ataupun PAS. Mereka perlu diajak sekali untuk menjayakan kesepakatan ini. Jadi perbincangan itu sepatutnya dibawa melewati sempadan dua parti politik itu sahaja.

2. Ada beza di antara ‘bersatu’ dengan ‘sepakat’. Walau pun saudara Iskandar nampak tidak berminat untuk membezakan di antara dua istilah ini, tapi tulisan beliau jelas membawa maksud ‘penyatuan’ dan bukan setakat ‘persepakatan’. Penyatuan UMNO-PAS, bukan mudah untuk berlaku. Tetapi ‘kesepakatan’, itu tidak mustahil berlaku dan ia perlu diusahakan agar berlaku. Saya amat yakin kebanyakan pimpinan UMNO dan sebahagian pimpinan PAS mahukan persepakatan itu berlaku, tetapi mungkin ada pengaruh dari luar yang tidak mahukan kesepakatan itu berlaku. Manakala usaha menyatukan UMNO-PAS, rasanya kedua-dua pimpinan parti itu tidak serius untuk memikirkannya kerana ianya agak jauh untuk berlaku di dalam suasana dan percaturan politik sekarang. Dengan ini saya ingin mengajak saudara Iskandar agar balik kepada titik perbincangan yang sebenar  (iaitu isu kesepakatan dan bukannya kesatuan) sebagaimana yang dibincangkan di dalam blog-blog dan laman-laman sosial.

3. Tulisan saudara Iskandar seolah-olah tidak mengalu-alukan perpaduan atau kesatuan atau persepakatan UMNO-PAS. Saya tidak pasti samada saudara Iskandar memang mewakili PAS ataupun saudara Iskandar adalah orang luar PAS yang memang tidak mahu kebaikan berlaku kepada PAS. Apa ruginya jika UMNO-PAS bersatu atau sepakat atau berpadu pada titik-titik tertentu? Imej PAS sebagai parti Islam tidak akan tercalar dengan korupsi dalam UMNO. Dasar perjuangan PAS juga tidak akan tersimpang hanya kerana beberapa noktah kerjasama dengan UMNO. PAS boleh menentukan apa yang perlu disepakati dan apa yang tidak perlu. Atau adakah saudara Iskandar rasa sebaliknya?

4. Saudara Iskandar juga dengan jelas kelihatan menjurus untuk menonjolkan keburukan UMNO semata-mata. Sedangkan al-Quran menuntut agar kemarahan kita kepada suatu kelompok manusia tidak menghalang kita memberikan persaksian secara adil kepada kelompok tersebut. Sebahagian beranggapan (mungkin saudara Iskandar pun termasuk sama) bahawa UMNO akan mati sendiri dengan segala korupsi yang dilakukannya. Jadi biarkanlah dia mati. Tetapi sedarkah saudara Iskandar bahawa ada ahli UMNO yang ikhlas berjuang untuk Islam dan bangsa di jabatan-jabatan kerajaan, di dalam badan-badan dan pertubuhan, di pentas akademik, di surau dan masjid, di persatuan penduduk dan sebagainya? Mereka ada kepakaran dan kekuatan yang boleh disalurkan untuk ummah. Apa format saudara Iskandar untuk mereka? Keluar UMNO dan masuk PAS? Berapa peratuskah dari mereka yang akan melakukan demikian? Sebahagian mereka lebih selesa dengan kedudukan mereka seperti sedia ada. Dengan itu format kesatuan atau kesepakatan UMNO-PAS dapat memelihara kekuatan itu dari terbiar tidak digunakan. Atau adakah saudara Iskandar memang berpendapat bahawa ahli-ahli UMNO yang ramai itu memang tidak diperlukan langsung untuk mendaulatkan Islam selagi mereka duduk di dalam UMNO?

5. ‘Kesepakatan UMNO-PAS lebih mendaulatkan Islam atau adakah Islam akan lebih berdaulat jika PAS dan UMNO tidak sepakat.’

Saudara Iskandar nampaknya berfikir dengan satu bentuk pemikiran yang unik apabila di awal penulisan beliau, beliau meletakkan persoalan tajuk ‘Berdaulatkah Islam apabila UMNO, PAS bersatu?’. Saya ingin mengajukan soalan balas ‘berdaulatkah Islam jika UMNO dan PAS tidak bersatu?’. Saya tidak pasti apa neraca yang digunakan oleh saudara Iskandar di dalam menganalisa isu ini sehingga sampai ke pernyataan demikian.

6. Saudara Iskandar juga nampak keliru di dalam mendefinisikan maksud kedaulatan Islam itu. Andaian yang dibuat oleh beliau samada ianya adalah isu murtad atau pentadbiran dan pengurusan atau keadilan untuk ummah atau sudut akhlak atau kerancakan amar ma’ruf nahi mungkar adalah andaian yang dipilih untuk menampakkan kelemahan UMNO. Mungkin juga dengan tujuan untuk menampakkan kesatuan UMNO-PAS itu tidak perlu kerana UMNO tidak cemerlang di dalam isu-isu ‘kedaulatan Islam’ yang dipilih itu. Lalu PAS boleh bergerak bersendirian untuk mendaulatkan Islam.

Kedaulatan Islam sepatutnya ditafsirkan dengan penafsiran yang luas seluas kesyumulan Islam itu sendiri. Islam sebagai agama negara, Islam sebagai sumber rujukan tertinggi, kepimpinan negara di tangan orang Islam, majoriti ahli parlimen yang merupakan penggubal dasar dari kalangan orang Islam, hak-hak muslim terpelihara, maruah Islam dan orang Islam terpelihara, orang bukan Islam memandang tinggi agama Islam dan begitulah seterusnya. Adakah UMNO sepanjang sejarahnya tidak pernah langsung memainkan peranan di dalam mendaulatkan Islam dalam ruang lingkup yang luas itu? Bukan untuk membela UMNO, tapi persoalan ini perlu dijawab oleh seorang mahasiswa dengan neraca ilmiah dan bukan berdasarkan emosi semata-mata. Metodologi ilmu di dalam penilaian mesti berdasarkan angka dan fakta yang menyeluruh bukan ambil satu kes di negeri ini dan satu lagi kes di negeri itu sahaja.

Demikianlah pandangan balas saya terhadap tulisan saudara Iskandar itu. Pada saya isu kesepakatan Melayu adalah isu utama pada masa ini. Pergolakan yang berlaku di dalam negara sekarang menjadikannya isu yang amat utama dan amat penting. Kesepakatan itu pula adalah dalam ruang lingkupnya yang luas dan tidak terbatas hanya di dalam sempadan pakatan parti-parti politik sahaja.

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Satu Perkongsian

Dipetik daripada www.ismaweb.net

10 November 2011 / ismakuantan

SMART SOLAT Bantu Pelajar Perbaiki Ibadah

Kelab Remaja ISMA

4 November – Bertempat di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Kuantan dengan kerjasama Unit Kaunseling SMART telah mengadakan Bengkel Smart Solat. Program bermula pada 3 November dan berakhir pada keesokkan harinya telah berjaya menarik seramai 294 pelajar tingkatan satu dan dua sekolah tersebut.

Bengkel Smart Solat ini memberi penekanan tentang kepentingan untuk sentiasa menunaikan dan menjaga rukun islam kedua. Disamping memberi latihan praktikal bermula dari berwuduk, tatacara solat, bacaan solat dan solat bagi mereka yang uzur

Pada sebelah paginya program dimulakan dengan ceramah bertajuk “Solatlah Kamu Sebelum Kamu Disolatkan” yang disampaikan oleh Ustaz Khairul Syazwan pada 3 November dan Ustaz Saberi Muda pada 4 November. Seterusnya para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang dikendalikan oleh para fasilitator yang terdiri daripada sukarelawan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Cawangan Kuantan, pelajar UIAM dan pelajar KIPSAS. Sekitar jam 12 tengah hari program melabuhkan tirainya dengan majlis penutup serta sesi muhasabah.

Ketua Unit Kaunseling SMART Puan Norziah pada kata-kata penutupnya merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak KRIM di atas komitmen yang diberikan serta amat berharap agar kerjasama antara pihak sekolah dan KRIM terus terjalin dalam program-program yang bakal dirancang pada masa hadapan. Pihak KRIM turut mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian pihak sekolah untuk bekerjasama menganjurkan program yang amat bermakna ini. Semoga para pelajar mendapatkan manfaat yang banyak dari program ini. Majulah KRIM untuk ummah!

Sedikit sedutan gambar sekitar program

8 November 2011 / ismakuantan

Kenyataan bersama ISMA, ABIM & PUM mengenai kenyataan MCCBCHST

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang menggesa supaya amalan menyembelih lembu-lembu tidak diteruskan di perkarangan sekolah dan tempat-tempat awam, pihak Sekretariat Persefahaman dan Kerjasama Gerakan Dakwah (SPKGD) yang disertai oleh 3 NGO Islam iaitu ISMA, ABIM dan PUM rasa terpanggil untuk membuat kenyataan balas.

Pihak MCCBCHST seharusnya menghargai sifat toleransi penganut agama Islam yang tidak masuk campur hal ehwal agama lain.

Pihak MCCBCHST juga perlu memberikan kerjasama seperti mana umat Islam bekerjasama  terhadap penganut agama Hindu bagi merayakan Thaipusam, masyarakat Cina merayakan pesta tanglung, penganut Taoisme merayakan pesta hantu lapar dan seumpamanya.

Kami menyarankan agar mereka dapat mencontohi rakan mereka di Singapura, Thailand dan Indonesia yang tidak menimbulkan isu remeh yang memalukan masyarakat di negara ini.

Abdullah Zaik Abd. Rahman (ISMA)
Amidi Abdul Manan (ABIM)
Dr Fauzi Draman (PUM)


Dipetik drpd www.ismaweb.net